Tokoh Akademik: Anugerah Perdana Menteri Milik Nurdiana Zwlkifli

Aktif Beraktivisme bukan penghalang kejayaan akademik

image (1)

Mungkin ramai yang boleh berjaya dalam bidang akademik, akan tetapi seramai mana yang mampu mengimbangkan kejayaan akademik yang dirangkul sejajar dengan kejayaan dalam beraktivisme atau berpersatuan. Baru-baru ini, Darul Quran JAKIM telah mengadakan Majlis Konvokesyen yang ke-23 dengan meraikan seramai 596 graduan yang berjaya memperoleh ijazah sarjana, diploma dan sijil dalam bidang pengajian al-Quran. Apa yang menarik perhatian kami, julung-julung kalinya Darul Quran memperkenalkan ‘Anugerah Perdana Menteri’­­­ yang belum pernah diadakan sebelum ini. Suatu pencapaian yang membanggakan apabila Nurdiana Binti Zwlkifli yang juga merupakan aktivis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah berjaya meraih anugerah tersebut dengan CGPA 3.98 (Kepujian Kelas Pertama).

Di atas dasar pencapaian yang membanggakan itu, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) mengambil kesempatan untuk menemubual dan mencungkil rahsia kejayaan beliau untuk dikongsikan bersama.

Latar belakang keluarga dan akademik

Nurdiana Zwlkifli merupakan seorang gadis yang berasal dari Pulau Pinang, dilahirkan di hospital Bukit Mertajam dan merupakan anak ketiga daripada lima orang adik-beradik. Bapa beliau merupakan seorang nelayan dan ibunya pula seorang suri rumah. Kesemua adik-beradiknya masih belajar di kolej-kolej universiti dalam bidang yang pelbagai. Beliau mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Sungai Dua dan menyambung pelajaran di peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad sehingga Tingkatan Lima. Semasa dibangku sekolah beliau banyak melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Puteri Islam, Setiausaha Kadet Remaja Sekolah, Ketua Nuqaba Usrah dan banyak lagi. Selain itu, semasa di peringkat sekolah menengah pula, beliau pernah menerima Anugerah ‘Pelajar Terbaik Bahasa Arab Tinggi’ dan mendapat 9A 2B di dalam SPM.

Selepas tamat tingkatan lima, Nurdiana mendapat pelbagai tawaran untuk melanjutkan pelajaran di kolej-kolej swasta, akan tetapi disebabkan hasrat yang menggunung untuk mendalami ilmu Al-Quran dan tekad yang tinggi untuk menghafaz 30 juzu’ Al-Quran, beliau memilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sijil selama setahun setengah dan seterusnya Diploma Tahfiz Al-Quran di Darul Quran dalam pengajian Qiraat selama 3 tahun.

Faktor Kejayaan

Ringkas dan bermakna. Apabila ditanya mengenai faktor yang mendorong kejayaan beliau, jawapannya “Habluminallah, habluminannas. Kalau kita menjaga hubungan dengan Allah, insya-Allah hubungan dengan manusia juga kita boleh perlihara.” Selain itu, Nurdiana menekankan doa ibu adalah yang paling berharga sebagai perangsang kejayaan ini. Guru-guru beliau juga antara yang banyak memberi galakan dan sokongan serta tunjuk ajar melalui pengalaman dan sangat memberi kesan ke atas dirinya. Selain itu juga, beliau berkata antara faktor yang menjadi perangsang kepada kejayaan beliau adalah kawan-kawan seperjuangan yang sentiasa berada di sisi walau dalam keadaan susah ataupun senang, dalam keadaan gagal ataupun berjaya. Itulah faktor yang cukup besar menjadi penguat dan pendokong kejayaan beliau tidak kira dalam akademik mahupun kehidupan beliau sendiri.

image

Antara faktor lain yang menjadi pendorong kejayaan adalah prinsip hidup yang digenggam oleh Nurdiana dan sentiasa disematkan di dalam hatinya. Prinsip “Be the Productive Muslimah” dan “Mumtaz Untuk Ummah” adalah suatu kekuatan bagi beliau untuk menjadi seorang pelajar yang bukan sekadar belajar akan tetapi juga aktif di dalam medan dakwah. Sentiasa melazimi dan mendidik diri menjadi qudwah kepada kawan-kawan serta menjadi penerus kepada memajukan agama, bangsa dan Negara.

Pengurusan Masa dan Aktivisme

Nurdiana merupakan aktivis PEMBINA yang sentiasa aktif dalam gerakan dakwah sama ada di luar ataupun di Darul Quran sendiri. Beliau banyak mengendalikan program dakwah seperti ‘Malam Bina Iman dan Taqwa’, Daurah dan sebagainya. Nurdiana juga menegaskan bahawa penglibatan pelajar di dalam sesebuah NGO Islam ataupun beraktivisme amatlah penting kerana pembentukan diri dan penambahan ilmu yang dapat digarap bukan sekadar di dalam bilik kuliah semata-mata. Namun biarlah pelajar itu dapat mempraktikkan diri, bergerak dan mencari pengalaman dalam kalangan masyarakat supaya tidak mengalami kejutan budaya di luar nanti.

Tambah beliau, jadilah Muslim yang produktif dan mempunyai matlamat dalam hidup. Mengejar matlamat tersebut dengan usaha dan pengurusan masa yang baik. Hasilnya, balasan dan ganjaran baik diperoleh di akhirat kelak. Seorang Muslim takkan mensia-siakan masanya dengan sesuatu yang tidak bermanfaat dan tidak suka bertangguh.” Apa yang dikongsikan oleh beliau itu adalah antara ibrah daripada tarbiah yang telah membumi dalam jiwa beliau.

Nurdiana merupakan seorang pelajar yang tidak suka membuang masa. Baginya masa 24 jam yang diberikan itu sungguh rugi sekiranya disia-siakan tanpa mengisinya dengan aktiviti yang berfaedah. Beliau juga berkongsi mengenai aktiviti yang beliau lakukan pada hujung minggu. Beliau mengisi dengan usrah dan aktiviti-aktiviti lain persatuan jika ada. Sebelum belajar, beliau sentiasa menelaah dahulu supaya bersedia dan hanya bertanya dengan pensyarah apa-apa yang tidak difahami. Sebulan sebelum peperiksaan beliau sentiasa mewajibkan diri untuk bersedia sekurang-kurangnya dalam 4 subjek supaya ianya tidak membebankan apabila menjelang seminggu sebelum peperiksaan.

Selain itu, dalam mendepani isu global hari ini, setiap yang bergelar pelajar perlu sentiasa berhati-hati dengan arus ideologi-ideologi barat yang mengancam jati diri umat Islam. Beliau berpesan kepada para pelajar khususnya pelajar perempuan hendaklah sentiasa cakna dan pantas bertindak dengan pelbagai isu yang melibatkan wanita pada zaman kini. Wanita Islam mestilah menunjukkan qudwah yang baik dari segi akademik, kerjaya profesional mahupun kepimpinan dan keizzahan terhadap Islam itu sendiri supaya martabat kita tidak dicalar oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Perancangan masa hadapan

Setiap apa yang dilakukan dalam kehidupan kita hendaklah mempunyai perancangan yang rapi supaya apa yang kita lakukan itu tersusun dengan sistematik. Bagi Nurdiana, apa yang beliau harapkan adalah dapat mencapai cita-cita dan impian yang diidamkan. Beliau bakal meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Pengajian Qiraat di Mansurah, Mesir selama 3 tahun. Beliau berharap agar semua dapat mendoakan beliau thabat di atas jalan dakwah ini dan lebih aktif dalam dakwah dan tarbiah di sana nanti. Beliau juga berharap agar dapat menjadi generasi wanita Islam ulul albab dan menggalas cita-cita untuk ummah tercinta.

Penutup

Untuk menjadi seorang pelajar sekaligus seorang pendakwah bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi bagi mereka yang aktif beraktivisme. Apa yang penting, pembahagian masa dalam menguruskan perkara-perkara tersebut dibuat dengan penuh sistematik. Kejayaan yang dicapai oleh saudari Nurdiana Zwlkifli merupakan suatu pencapaian yang luar biasa dengan bekalan hafazan al-Quran 30 juzu’ di dalam dada, ia merupakan satu mutiara yang sungguh berharga. Kepada semua mahasiswa dan mahasiswi, jadilah seorang pelajar yang meletakkan tarbiyah nombor satu dalam kehidupan kalian tanpa meletakkan pelajaran sebagai nombor dua sebagai pencapaian duniawi. Memetik kata-kata saudari Nurdiana, “Jadilah qudwah kepada kawan-kawan bahawasanya dengan tarbiyah dan dakwah juga kita mampu bahkan lebih berjaya dalam bidang yang diceburi.”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top