Perutusan Aidil Fitri buat beliawanis

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Bismilahirahmanirahim, awal bicara dan pembuka kata, selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w, insan teladan sepanjang zaman dan yang dirindukan. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Ilahi kerana Allah masih memanjangkan usia kita sehingga kehari ini dan dapat merasai kenikmatan dan kerahmatan bulan Ramadhan. Rebutlah peluang yang masih ada di saat sisa-sisa Ramadhan yang masih berbaki .

Beliawanis yang dirahmati Allah,

Moga Ramadhan yang bakal meninggalkan kita ini memberikan seribu makna kabaikan dan perbaikan diri agar hari-hari yang seterusnya kita terus istiqomah menjadi insan yang solehah dan mulia.  Berkat Ramadhan yang penuh hikmah pasti terbias kepada ummat yang berada di dalamnya, beruntunglah kerana menjadi umat yang pilihan untuk berada di dalam bulan ini.

Yang datang pasti akan pergi itulah sunnah alam, sedar tidak sedar Ramadhan sudah hampir melabuhkan tirainya. Tiba pula hari kemenangan bagi umat islam iaitu “Hari Aidilfitri Mubarak” untuk meraikan mereka yang telah bersungguh-sungguh sebulan menahan hawa nafsu dan beribadah mendidik jiwa dan menginsafi diri atas dosa-dosa lalu.

Beliawanis yang dikasihi Allah,

Di bulan dan hari yang mulia ini, janganlah kita lupa akan peranan kita sebagai seorang wanita harapan agama, bangsa dan negara. Mungkin di satu sisi ada yang memandang kita lemah, namun hakikat yang sebenarnya kita adalah wanita yang mampu menggegarkan dunia kerana kita adalah pendidik kepada anak- anak yang satu hari pasti akan menjadi pemimpin negara dan pejuang agama. Haruslah membekalkan diri dengan sebanyaknya kebaikan dan menjadikan isteri-isteri nabi sebagai teladan dan alquran sebagai pedoman. Jadikanlah Ramadhan dan Syawal ini sebagai titik tolak agar kita terus bersemangat untuk menanam cita-cita menjadi wanita Solehah dan ibu mithali.

Peka kepada keadaan semasa juga sangat penting bagi kita kerana kehidupan semakin hari semakin mencabar dengan bermacam-macam jenayah yang berlaku sehingga ada yang di luar kotak pemikiran kita sejauh ini kezaliman boleh berlaku, sememangnya manusia akhir zaman ini semakin rosak dan kitalah yang perlu bangkit dan menjadi tulang belakang untuk memperbaiki keadaan.

Ramadhan pergi, Syawal mengganti,

Hari Raya menandakan kemenangan umat islam, buat yang kaya mahupun yang miskin  turut rasa bergembira dengan kehadiran syawal. Yang kaya memberi dan yang miskin menerima dan merasai. Sangat indah Islam itu, kerana mengajar kita menyayangi semua manusia tidak kira apa pun darjat dan pangkat kerana semuanya bersaudara ( orang-orang islam itu bersaudara).

Syawal menjelma, marilah kita mengambil kesempatan untuk bermaafan sesama saudara mara, sahabat handai, jiran tertangga dan juga saudara sesama islam lupakan sengketa lama dan binalah hubungan yang baru agar kita dapat bersama dalam menegakkan Islam. Ini penting agar musuh islam tidak berani untuk memandang rendah kepada orang islam.   

Akhirul kalam, Manfaatkanlah setiap yang hadir dalam hidup, agar menjadi orang yang bahagia, Ramadhan pergi pasti kita tangisi dan Syawal yang hadir mengubat hati dengan kemeriahan silaturahim. Bahkan luka lama juga terasa hilang dengan hadirnya rahmat Syawal. Allah menggantikan Syawal bulan berkasih sayang dengan seribu hikmah agar perpaduan kita terus kukuh dan Islam kembali menyinar di dunia ini.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Wallahua’lam,

Yang benar,

Norhamimah Ibrahim
Ketua Beliawanis/ Naib Presiden II PEMBINA 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top