Perutusan Ramadhan – Eqwan Roslan

Alhamdulillah kita diberi peluang untuk sekali lagi bertemu dengan bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan tawaran yang berlipat kali ganda ganjarannya dan bulan dipermudahkan bagi kita untuk melakukan amal kebaikan.

Di permulaan Ramadhan ini, mari kita sama-sama mulakan dengan bermuhasabah tentang dua perkara. Pertama, siapakah diri kita selaku seorang hamba dalam tempoh setahun sebelum ini dan kedua, bagaimana keadaan Ramadhan kita pada tahun lepas. Adakah kita telah mencapai objektif Ramadhan, iaitu menjadi manusia yang bertaqwa?

Di bulan-bulan lain kita berusaha untuk menunaikan kewajipan dan meninggalkan perkara haram, di bulan Ramadhan kita berusaha untuk meninggalkan perkara-perkara yang kebiasaannya harus, hanya kerana kita menundukkan diri kepada Allah. Ambillah peluang untuk memperbaiki hubungan dengan Allah dan menyusun semula amal dakwah dan kehidupan. Mari kita usaha untuk pisahkan diri kita daripada kepentingan dan kecintaan kepada dunia. Jika sebelum ini kita banyakkan berdoa untuk kesenangan dunia seperti hendak jadi kaya, jodoh yang baik dan rumah yang besar, mari kita bermuhasabah memikirkan keadaan kehidupan akhirat dan mendoakan kebaikan kita di sana.

Ramadhan adalah bulan perjuangan. Pada bulan ini berlakunya perang Badar, perang Ain Jalut, pembukaan Kota Mesir, pembukaan Kota Sepanyol dan peperangan Yom Kippur menentang kerajaan haram Israel. Segala amal dakwah dan jihad harus dilipatgandakan, dengan kekuatan dalaman yang diperkuat dan diperkukuah.

Kita diberi peluang untuk bertemu dengan Lailatul Qadar pada bulan ini, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Tetapi ada manusia yang diberi peluang untuk bertemu dengan malam yang lebih baik daripada Lailatul Qadar. Sabda Rasulullah:

“Mahukah aku beritahu kamu satu malam yang lebih afdhal daripada Lailatul Qadar? Rasulullah terus bersabda; Seorang yang berkawal (hirasah) di kawasan yang bahaya, dia tidak pasti dia boleh balik atau tidak kepada keluarganya.” (Hadith Sahih Riwayat Baihaqi dan al-Hakim, mengikut syarat Bukhari)

Dalam kita menikmati Ramadhan dalam keadaan aman, mari kita sama-sama mengingati dan memberi sumbangan kepada saudara kita di negara-negara yang diuji dengan tekanan dan peperangan.

Selamat menyambut ketibaan Ramadhan. Semoga bulan ini menjadi pesta penyucian diri, bulan amal kebaikan dan dakwah, dan kita keluar daripada bulan ini sebagai seorang hamba yang bertaqwa!

 

Oleh:

Eqwan Roslan
Presiden PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top