“Doakan aku bertudung ye”

btudung
Saya merenung jauh ke dalam skrin komputer saya, mencuba memahami pergerakan tektonik yang menyebabkan seismic line yang saya sedang interpret sebegitu kompleks sekali. Tiba-tiba datang seorang rakan sekerja untuk berborak-borak. Sebelum dia beredar, dia menyampaikan satu pesanan, atau mungkin.. sebuah harapan, yang tidak saya jangka.

“Hanan, aku tahu pakai tudung tu wajib. Aku tengah berusaha mencari kekuatan ni. Kau tolong doakan aku ya”, sahabat itu berkata sambil memegang bahu saya. Kemudian dia senyum dan beredar.

Saya terdiam. Eh? kenapa tiba-tiba dia berkata begitu kepada saya? Nak kata saya ada perli-perli ke.. kutuk-kutuk dia ke.. kerana tak pakai tudung, takde lah pula?

Yang lebih peliknya, baru sahaja minggu lepas, seorang rakan sekerja lain yang juga tidak bertudung menghantar message whatsapp kepada saya secara tiba-tiba..

“Nan, doakan aku kuat dan dapat hidayah untuk pakai tudung”.. message itu berbunyi.

“Insya-Allah, semoga sentiasa dalam jagaan Allah”, saya menjawab kembali, tapi dalam penuh tanda tanya.

Tidak bertemu dengan jawapan, saya lalu senyum dan melafazkan ‘Alhamdulillah’..

Alhamdulillah, kerana mereka pastinya berada di ambang penghijrahan mendekati Allah.

Alhamdulillah, kerana walaupun mereka tidak bertudung pada waktu ini, namun mereka tidak menafikan hukum Allah, malah berhasrat untuk memenuhi suruhan Allah.

dan

Alhamdulillah,
kerana mereka tidak rasa canggung atau ‘awkward’ untuk bercakap dengan saya tentang perkara ini.

Seringkali saya dengar kisah-kisah di mana orang-orang kebanyakan tidak mahu mendekati golongan “bertudung labuh macam ustazah” kerana khuatir dengan “jelingan maut” mahupun “teguran untuk bertaubat” yang mereka sangka akan datang daripada golongan-golongan sebegini; sedang mereka lupa hakikat bahawa golongan “bertudung labuh macam ustazah” itu masih tetap seorang manusia biasa yang ada kisah silam tersendiri juga.

Saya bersyukur kerana saya tidak mewujudkan ‘gap’ itu dengan rakan-rakan sekerja saya, terutama bersama mereka yang tidak bertudung. Malah kami berkawan dengan baik sepertimana dengan rakan-rakan sekerja yang lain. Saya sentiasa berharap, semoga dengan persahabatan yang terjalin ini dapat sedikit sebanyak memberi kekuatan dan motivasi untuk rakan-rakan lain lebih dekat dengan Allah.

Bila bercakap tentang perempuan Islam yang tidak memakai tudung, pada saya ada dua golongan yang perlu kita kenal pasti.

Yang pertama adalah golongan orang yang tidak bertudung tapi jauh di sudut hati, mereka tahu mereka perlu bertudung. Seringkali mereka akan berkata, “tidak bersedia”, “belum sampai hidayah” , “nanti-nantilah”, “sedang dalam usaha” dan sebagainya.

Golongan sebegini adalah orang-orang yang perlu kita dekati dengan penuh kasih sayang, moga dengan akhlak dan qudwah yang kita tunjukkan dapat memberi kesan kepada mereka.

Bagi semua manusia, titik perubahan yang menggerakkan seseorang untuk berubah itu berlainan.

Ada yang saya perhatikan, mereka terdengar satu tazkirah di TV atau radio, dan esoknya dah terus bertudung. Ada yang bila ibubapa dah meninggal baru mula bertudung. Ada yang bila dah kawin baru mula memakai tudung. Ada tu, dah dapat anak baru datang kesedaran untuk bertudung.

Mungkin ada yang akan berhujah bahawa kita tak tau bila kita akan mati, maka perlu berubah segera. Ini memang sangat betul. Namun memahami tabiat manusia, setiap orang terkesan dengan asbab yang berbeza. Walaupun perbuatan tidak menutup aurat itu sesuatu yang kita tidak redha, namun dakwah secara berhikmah itu perlu diamalkan.

Golongan kedua pula adalah golongan perempuan tidak bertudung dengan kefahaman dan keyakinan bahawa tidak ada kewajipan ke atasnya untuk menutup aurat. Boleh jadi mereka fikir, Allah tidak pernah suruh orang perempuan menutup aurat, atau mereka rasa perintah bertudung tu ciptaan manusia, perintah bertudung tu adalah satu bentuk penindasan ke atas wanita dan sebagainya. Mereka menolak hukum Allah dan merasakan bahawa mereka lebih bijak menentukan apa yang terbaik buat diri mereka.

Mungkin ada yang berpendapat, dengan golongan sebegini juga perlu dilakukan dakwah dengan lembut dan kasih sayang. Dan memang benar, terutama bila apa yang mereka perjuangkan adalah kerana mereka jahil terhadap hukum Allah.

Namun apa yang parahnya adalah apabila golongan kedua ini mewar-warkan kefahaman mereka ini secara umum dan lantang, lantas mengelirukan dan menyesatkan orang lain yang juga sama jahil seperti mereka. Dalam kes seperti ini, maka tindakan berhikmah adalah untuk berlawan hujah secara umum juga, untuk memastikan kefahaman agama yang betul sampai kepada masyarakat umum, agar mereka tidak disesatkan oleh golongan yang ingkar perintah Tuhan.

Sebagai seorang muslim yang nak buat dakwah, kita perlu bijak dalam menganalisa situasi. Bertegas dan berkeras tak tentu pasal mahupun berlembut dan apologetik tidak tentu pasal takkan membawa kebaikan kepada sesiapa. Kerana itu dakwah secara hikmah perlu diamalkan.

Penting untuk saya tekankan bahawa berhikmah bukan bermaksud lembik, lemah, layu dan apologetik. Sebaliknya berhikmah itu adalah memberikan apa yang paling sesuai bersasarkan situasi. Ada masa perlu berlembut, ada masa perlu bertegas. Ada orang yang hanya akan sedar untum berubah bila kena sentap, ada orang yang hanya akan berubah bila dinasihat baik-baik.

Walaupun setiap orang itu mempunyai titik perubahan yang berbeza dan kita perlu berdakwah dengan lrmah kembut dan kasih sayang, ini tidak menjadi alasan untuk kita menidakkan kewajipan menutup aurat. Ini tidak menghalang kita daripada menyatakan kebenaran, menyeru manusia untuk menutup aurat dan patuh pada suruhan Allah mahupun mengatakan yang salah itu tetap salah, dan yang dosa itu tetap dosa.

Hari ini, alhamdulillah, salah seorang daripada dua orang sahabat saya itu sudah pun bertudung. Dan saya bangga serta gembira untuknya. Hijrahnya itu tidak pernah menghalang dia untuk terus berjaya dalam kerjaya sepertimana sebelumnya. Semoga setiap langkah dan perbuatannya dalam redha dan jagaan Allah.

Sementara itu, seorang lagi sahabat itu masih mencari kekuatan. Saya tidak pernah rasa kecewa dengannya. Saya yakin, dia pasti akan bertemu kekuatan itu, kerana Allah mengetahui segala isi hati.

“Semoga awak murah rezeki dan berjaya dalam hidup”, saya ucap kepadanya baru-baru ni.

“Hanan, awak tertinggal benda penting”, katanya.

“Apa dia?”

“Doakan saya dapat hidayah Allah”.

“Pasti!”

Dia senyum dan berlalu.

Aku senyum.. dan aku membisikkan doa teristimewa buatnya.

Hanan Othman

Jawatankuasa Latihan dan Kepimpinan PEMBINA

3 thoughts on ““Doakan aku bertudung ye””

  1. doa sahabat utk sahabat yg lain sgt2 mustajab….sma2 kita doa mendoakan yg baik2 sesama kita..mudah2an Allah swt mengangkat doa2 kita semua.

  2. Pingback: “Doakan aku bertudung ye” | Gambar & Video

  3. Pingback: “Doakan aku bertudung ye” | Portal Islam dan Melayu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top