Adegan Panas Filem Tempatan Menyimpang dari Ajaran Islam

Industri hiburan tanah air tidak pernah sunyi daripada berbagai kontroversi. Tidak dinafikan industri ini merupakan antara industri yang mendapat perhatian ramai pihak kerana ia berbentuk hiburan yang menjadi pilihan ramai orang. Baru-baru ini kita dikejutkan lagi dengan adegan tidak sopan yang jauh menyimpang dari ajaran Islam, iaitu adegan ranjang dua buah filem tempatan yang baru-baru ini ditayangkan kepada umum. Walaupun adegan tersebut telah dipotong oleh pihak berkuasa kerana sensitiviti masyarakat umum, namun perbuatan ini tetap salah dan tidak bermoral.

Apakah ini sudah menjadi “trend” terkini penerbit, pengarah, dan pelakon filem tempatan? Apakah industri filem tempatan telah kehabisan idea-idea yang hebat untuk membuat filem sehingga terpaksa atau secara sengaja meniru gaya filem luar negara yang tidak bermaruah dan menjatuhkan moral individu serta membangkitkan kemarahan sensitiviti umat Islam di Malaysia khususnya ?

PEMBINA sebagai sebuah persatuan Islam, adalah menjadi tanggungjawab bagi kami untuk memberi teguran, dan meletakkan garis panduan yang betul kepada sesiapa sahaja yang tidak ambil kisah atau terlupa untuk mengambil kira pandangan Islam dalam setiap perkara yang dilakukan oleh setiap insan lebih-lebih lagi bagi yang beragama Islam.

Seruan kami kepada pelakon-pelakon yang terbabit, pengarah filem, penerbit filem dan semua yang terlibat dalam pembikinan filem-filem tersebut perlu bertaubat memohon keampunan dari Allah s.w.t. Ini kerana perbuatan itu amat jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan siapa sahaja yang menyumbang kepada pembikinan filem ini ada disana bahagian anda yang perlu anda mohon kemaafan dari Allah s.w.t.

Sepertimana sabda Nabi s.a.w di dalam hadis baginda, Dari Ma’qil bin Yasaar, ia berkata :

“Rasulullah SAW bersabda, “Ditikam seorang diantara kalian di kepalanya dengan jarum dari besi adalah lebih  baik daripada ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya . [HSR.
Thabrani dalam Al-Kabir juz 20, hal. 212, no. 486]”

Hadis ini dengan jelas menyatakan haram untuk bersentuhan diantara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, apatah lagi bersentuhan yang melampau seperti dalam adegan berkenaan. Di dalam Al-Quran ada mengingatkan umat Islam seperti berikut:

“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman, “ Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat ” . [QS. An-Nuur : 30]”

Allah s.w.t  menyuruh kita sebagai hambanya untuk memelihara kesucian dan kehormatan diri sebagai seorang Muslim, kerana Islam amat menjaga maruah setiap penganutnya. Maka tergamakkah kita untuk mengingkari suruhan Allah s.w.t. ini ? Di mana maruah dan kehormatan kita, jika seandainya kita boleh memberikan tubuh badan kita disentuh oleh bukan muhrim sedemikian rupa malah ditonton oleh semua krew pembikinan filem ? Apaka terlalu murah maruah diri kita ?

Pelakon-pelakon yang kami hormati dan sayangi, kerana sayang dan tak sanggup melihat kesilapan dan maruah anda terus-menerus dihina masyarakat, malah ditakuti juga dimurkai Allah, maka kami tampil memberi nasihat. Bukanlah kami mahu tunjuk pandai, ataupun “poyo” konon-konon alim. Tidak, jauh sekali, tetapi kerana kami ingin lihat anda semua berjaya menjadi pelakon terkenal bukan sahaja terkenal di dunia, malah terkenal juga di hadapan Allah kelak kerana usaha-usaha dakwah dan membaiki masyarakat melalui lakonan anda.

Kepada pengarah-pengarah filem, penerbit-penerbit filem dan semua yang terlibat di dalam industri perfileman, jadilah kita seorang yang bertakwa kepada Allah s.w.t dalam apa jua keadaan sekalipun. Hidup kita cuma sekali, dan hidup yang sekali ini umpama ladang untuk kita bercucuk tanam, dan hasilnya kita tuai di hadapan Allah kelak. Moga segala amal baik kita didunia yang bertetapan dengan syariat menjadi penyelamat kita di sana kelak.

Hasilkanlah filem-filem yang bermutu tinggi dan sarat dengan mesej kebaikan. Kita tidak perlu terikut-ikut dengan budaya barat. Kita mempunyai jati diri kita yang tersendiri, budaya kita yang unik, dan agama yang sentiasa membimbing kita. Tanpa perlu kita terikut-ikut dengan gaya barat kita juga mampu hasilkan karya-karya yang hebat dan agung. Lihat saja bagaiamana pembuat filem dari Negara Iran, banyak filem mereka yang bermutu tinggi dan diiktiraf dunia antarabangsa tanpa perlu ada adegan-adegan berahi yang Islam larang.

Buktikan kemampuan anda sebagai pengkarya yang hebat kreatif serta mempunyai identiti tersendiri. Tidak perlu kita ikut acuan Barat yang semestinya banyak berbeza dengan kita dari sudut pegangan agama, dan nilai budaya. Ingatlah, semua yang kita miliki ini adalah kepunyaan Allah. Malah setiap nafas yang kita sedut dan hembus juga kurniaan Allah. Bagaimana sekiranya setiap sedut dan hembusan nafas kita ini Allah caj 10 sen. Berapakah yang kita perlu bayar kepada Allah setelah kita berusia 40 tahun ?

Namun kerana kasih dan sayangnya Allah kepada kita, Allah berikan kepada kita secara percuma! Tanpa sebarang caj, cuma sedikit sahaja yang Allah minta, patuhilah segala suruhanNya dan tinggalkanlah segala laranganNya. Ayuh jadilah pengkarya seni yang dihormati dan disukai oleh peminat anda serta diredhai Allah sebagai pencipta kita.

 

Oleh,

Nurul Aizam Zaini
Pengerusi PEMBINA Melaka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top